Pendahuluan Karangan

Pendahuluan Karangan : Maruah Diri Mutiara Berharga 
(Buku Teks ms 44) 

Tajuk Karangan: Kepentingan Menjaga Maruah Diri

Pendahuluan Jenis Pendapat Tokoh

                 Sebagai manusia, kita harus menjaga maruah kita pada setiap masa. Kata Prof Dr. Muhaya binti Haji Mohamad,  “Hari ini jaga fikiran kita, emosi kita, perkataan kita dan tindakan kita. Lihat, bagaimana hidup kita berubah.” Di sini jelaslah bahawa maruah kita harus dijaga melalui tindak-tanduk kita. Menurut Hamka, walaupun musnah harta dan benda, harga diri janganlah jatuh. Hidup kita akan berubah menjadi lebih baik kalau kita betul-betul mementingkan maruah diri kita.

Pendahuluan Jenis Peribahasa

                          Sebagai manusia, kita harus menjaga maruah kita pada setiap masa. Orang yang bermaruah seharusnya bertingkah laku sopan agar dihormati dan disenangi orang. Orang yang tidak bermaruah akan merosakkan namanya , bak kata pepatah rosak bawang ditimpa jambak.  Mereka bukan sahaja membinasakan diri sendiri tetapi juga  membawa malu kepada keluarga. Ini yang dikatakan sebab budi boleh kedapatan. Penjagaan maruah diri begitu penting kepada semua, jadi kita harus meninjau kepentingan-kepentingannya.


Pendahuluan Jenis Definisi
                         
                 Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, maruah bermaksud kehormatan diri atau harga diri. Maruah diri seseorang dapat diperhatikan melalui cara pergaulan, cara percakapan dan cara berpakaiannya. Orang yang bermaruah tahu menjaga imej sendiri agar tidak membawa malu kepada diri dan keluarga. Memandangkan maruah begitu penting kepada seseorang, kita harus mengetahui kepentingan-kepentingannya.

Pendahuluan Jenis Persoalan

                            Sebagai manusia, kita harus menjaga maruah kita pada setiap masa.  Apakah itu maruah? Mengapakah kita mesti menjaga maruah kita? Sebenarnya tingkah laku kita mencerminkan peribadi kita. Orang yang bermaruah seharusnya bertingkah laku sopan agar dihormati dan disenangi orang. Kita tidak boleh mengabaikan kepentingan menjaga maruah diri selagi kita hidup di dunia ini.


Berdasarkan contoh pendahuluan di atas, hasilkan keempat-empat jenis pendahuluan di atas dengan tajuk Penyakit Covid-19 dan langkah-langkah untuk mengatasinya.

Comments

Popular posts from this blog

Jalan ke Puncak :Sinopsis Bab

Karangan: Kebaikan aktiviti lawatan sambil belajar ke luar negara

Ringkasan : Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu