Karangan: Kebaikan aktiviti lawatan sambil belajar ke luar negara

KEBAIKAN AKTIVITI LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE LUAR NEGARA
(Buku Teks ms 65)

                        Aktiviti lawatan sambil belajar ialah aktiviti luar kelas yang melibatkan murid dan guru mengunjungi sesuatu tempat dengan tujuan memperkukuh pembelajaran di dalam kelas. Aktiviti ini menjadi semakin penting pada era globalisasi dengan sekolah menganjurkan program pertukaran murid yang membolehkan murid membuat lawatan sambil belajar ke luar negara. Sesungguhnya, aktiviti ini mendatangkan faedah yang tidak ternilai kepada murid-murid yang terlibat.
                  
                       Faedah pertama aktiviti ini ialah murid mempelajari kemahiran mengurus aktiviti dengan lebih efektif. Kemahiran yang dipelajari menyebabkan murid akan  lebih berkeyakinan dan mampu mengesan sebarang kemungkinan yang berlaku lebih awal. Mereka akan memahami kepentingan untuk membuat pemeriksaan demi pemeriksaan sebelum dan semasa perjalanan seperti jadual bas atau kapal terbang, jumlah ahli rombongan, tempat penginapan dan sebagainya. Semua pengalaman ini mendorong murid lebih  memahami keperluan untuk mengurus dan menyelesaikan sesuatu masalah sebelum masalah itu timbul. 
                            Dengan melawat ke luar negara, murid akan memperoleh pengalaman yang unik. Hal ini demikian kerana mereka belajar cara untuk mengurus diri dan bekerjasama dengan orang lain. Contohnya, mereka sebagai individu perlu belajar cara untuk menaiki kapal terbang dan mematuhi peraturan-peraturan penerbangan yang terdapat di negara sendiri dan negara asing. Disebabkan mereka pergi sebagai rombongan, mereka akan sentiasa menjaga orang lain dalam perjalanan. Ini adalah untuk mengelakkan keciciran dalam perjalanan. Pengalaman yang diperoleh ini penting dan akan menjadi panduan hidup apabila mereka dewasa kelak. 

                              Malah, lawatan sambil belajar ke luar negara memudahkan proses pembelajaran kerana keadaan yang dihadapi berbeza dengan  keadaan di dalam negara. Kadang kala murid lebih mudah menerima sesuatu ilmu jika keadaan dan suasananya berbeza sedikit daripada kebiasaannya. Lawatan sambil belajar ini boleh mengatasi masalah kebosanan pelajar terhadap mata pelajaran tertentu yang memerlukan penumpuan dan perhatian yang tinggi. Jadi, proses pembelajaran menjadi lebih efektif menerusi lawatan sambil belajar ini.

                       
                           Selain itu, lawatan sambil belajar ke luar negara dapat memberikan semangat kepada diri seseorang untuk menjadi lebih baik. Mereka akan lebih bersemangat untuk belajar bersungguh-sungguh. Bagi sesetengah orang, lawatan ke luar negara sangat dinanti-nantikan kerana tempat tersebut ialah suasana yang sebenar dialami dan sekali gus dapat  memotivasikan diri terutama apabila mereka melihat masyarakat di negara luar yang lebih maju dan hidup dalam keadaan harmoni seperti di negara matahari terbit ,Jepun.

                            Seterusnya, lawatan sambil belajar ke luar negara dapat meningkatkan nilai-nilai murni murid apabila murid melihat amalan dan budaya masyarakat asing yang boleh dicontohi . Misalnya masyarakat Jepun beratur di tempat-tempat awam dan berdiri di sebelah kiri ketika  menaiki eskalator. Mereka juga membongkokkan badan apabila mengucapkan terima kasih. Amaln-amalan ini menunjukkan nilai kesederhanaan dan hormat yang tinggi apabila berhubung dengan orang lain.

                                    Tuntasnya, tidak dapat disangkalkan lagi bahawa lawatan sambil belajar membawa pelbagai manfaat yang tidak ternilai kepada murid.  Setiap pelajar harus diberi peluang untuk menyertai aktiviti ini agar mereka menjadi orang yang jauh perjalanan luas pemandangan. 

Comments

Popular posts from this blog

Jalan ke Puncak :Sinopsis Bab

Ringkasan : Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu